Home Tindakan Perundangan

Tindakan Perundangan

MAKLUMAN TINDAKAN PERUNDANGAN: TINDAKAN PENDAKWAAN DI BAWAH AKTA 304


Seorang orang awam telah dikenakan tindakan pendakwaan di Mahkamah Sesyen (Jenayah) Butterworth pada 22 April 2019 kerana memiliki sejumlah bahan radioaktif semulajadi (Naturally Occurring Radioactive Materials, NORM) tanpa suatu lesen yang sah di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304). Pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 12(1)(b) Akta 304. Tertuduh mengaku bersalah dan dikenakan hukuman denda RM 20,000 atau 6 bulan penjara jika gagal membayar denda.

Perlanggaran Akta 304 ini mula dikesan di pintu masuk utama negara apabila pesalah membawa masuk bahan radioaktif ini tanpa lesen yang sah di bawah Akta 304 dengan hasrat untuk digunakan dalam produk konsumer di Malaysia. Hasil pengesanan ini telah membawa kepada geledahan di premis syarikat yang sedang memproses produk konsumer tersebut dengan mencampurkan bahan radioaktif ini.

Tindakan pengesanan ini adalah hasil kerjasama dalam aktiviti pengesanan sekuriti nuklear (nuclear security detection) bersama pihak Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) melalui peranan Pusat Pengurusan Tindakbalas Nuklear Kebangsaan (PTNK), dan Makmal Pengesanan Sinaran, Nuclear Security Support Centre (NSSC) Malaysia di AELB.

Info: Malaysia melaksanakan kerjasama strategik bersama pihak JKDM melalui pembangunan prosedur dan penggunaan peralatan pengesanan sinaran seperti Portal Pengesanan Sinaran (Radiation Portal Monitor, RPM) yang dipasang di pintu masuk utama negara bagi menghalang kemasukkan haram bahan radioaktif dan nuklear ke Malaysia. Kerjasama ini turut disokong dari segi bantuan peralatan dan pembangunan kapasiti oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan US Nuclear Smuggling Detection and Deterrence (US NSDD).


MAKLUMAN TINDAKAN PERUNDANGAN: TINDAKAN GANTUNG LESEN DI BAWAH AKTA 304


Sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti radiografi industri telah dikenakan tindakan gantung lesen selama 45 hari mulai 26 April 2019 oleh Lembaga kerana dua kesalahan melanggar Syarat Lesen yang dikeluarkan di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304). Dua kesalahan itu adalah membiarkan seorang orang awam menjalankan kerja radiografi industri dan menstor peralatan sinaran di tempat penstoran yang tidak diluluskan untuk syarikatnya. Tindakan dikenakan di bawah Seksyen 22(1) Akta 304.

Lembaga memandang serius kepentingan pematuhan kepada Syarat Lesen yang dikeluarkan bagi memastikan aspek keselamatan, sekuriti dan kawalgunaan dipatuhi selaras dengan ketetapan di bawah Akta 304. Langkah ini diambil bagi menjamin keselamatan orang awam dan alam sekitar, dan pada masa yang sama memfasilitasi secara perundangan kepada aktiviti ekonomi yang menyokong kesejahteraan serta pembangunan ekonomi negara.

Info: Radiografi industri merupakan aktiviti yang menggunakan bahan radioaktif dalam tujuan ujian tanpa musnah dan adalah salah satu aktiviti industri yang dikawal secara perlesenan di bawah Akta 304.